Taping and strapping yang
berwarna-warni semakin popular dalam kalangan ahli sukan.
Semua ahli sukan sama ada yang
aktif dalam sukan bola sepak, badminton, ragbi, gimnastik, renang atau sebut
saja sukan apa, semuanya terdedah kepada kecederaan ringan atau berat. Kecederaan
semasa bersukan adalah pelbagai mengikut jenis sukan dan mekanisme kecederaan. Biasanya
kecederaan sukan merujuk kepada kecederaan yang berlaku semasa bersukan atau
bersenam.
Kecederaan sukan bukan hanya
berlaku kepada mereka yang bersukan tetapi semasa bersenam di rumah. Ia dalam
kategori yang sama. Kecederaan sukan berlaku mungkin disebabkan kemalangan
ketika bersukan, teknik latihan atau amalan harian yang tidak betul atau
kejutan pada otot.
Menurut Pakar Bedah Ortopedik dan
Kecederaan Sukan, Hospital Pantai Ampang, Selangor, Dr. Ezlan Merican,
kecederaan sukan yang biasa berlaku seperti calar, luka, sakit urat, terseliuh
dan patah, memang mudah diubati.
"Kebanyakannya boleh dirawat
menggunakan teknik RICE iaitu rehat (rest), ais (ice), tekanan (compression),
ampu atau angkat (elevation) selain ubatan (medication).
"Misalnya pesakit yang
cedera pada buku lali perlu berehat daripada bermain, anggota yang cedera
diletakkan ais, balut dengan pembalut (bandage) dan ampu atau angkat anggota
lebih tinggi daripada paras jantung bagi mengelakkan bengkak atau edema,"
katanya.
Pesakit juga dinasihatkan
mengambil panadol untuk mengurangkan bengkak dan sakit atau ubat antiinflamasi.
Biasanya mereka yang aktif bermain bola sepak, futsal, badminton, bola
keranjang dan bola jaring memang terdedah kepada kecederaan.
"Bagaimanapun mereka yang
cedera dilarang berurut bagi mengelakkan kecederaan semakin parah,"
katanya.
Dr. Ezlan berkata, kecederaan
sukan secara amnya terbahagi kepada
1. kecederaan tisu lembut.
2. kecederaan tulang.
"Kecederaan pada tisu lembut
pula boleh dibahagikan kepada akut dan kronik. Mereka yang mengalami kecederaan
akut seperti terseliuh harus dirawat segera menggunakan kaedah RICE sebelum
kecederaan menjadi bertambah kronik," katanya.
Tetapi ada kalanya, mereka terus
mengalami kecederaan kronik seperti anterior cruciate ligament (ACL) di lutut
akibat bermain sukan berkaitan dengan bola dan tennis elbow di siku akibat
bermain sukan yang menggunakan raket. Kecederaan ACL perlu mendapatkan rawatan
suntikan gel acid hyaluronic secara berkala selain fisioterapi.
Jika kecederaan semakin parah,
pembedahan adalah langkah terakhir dengan menukar bahagian lapisan lutut. Rawatan
untuk tennis elbow pula adalah lengan perlu direhatkan secukupnya dan ini
bermakna atlet terpaksa berhenti bersukan atau melakukan kerja berat untuk
beberapa minggu. Pesakit yang mengalami kecederaan kronik perlukan rawatan
antiinflamasi yang lebih kuat, menjalani fisioterapi, latihan regangan dan
menggunakan taping and strapping. Bagaimanapun jika kecederaan semakin teruk,
suntikan akan diberikan bagi melegakan radangan.
"Biasanya kecederaan boleh
diubati tetapi ia akan mengganggu aktiviti harian individu," katanya.
Menurut Dr. Eizlan, kecederaan
tulang jarang berlaku kecuali dalam sukan lasak seperti bola sepak, ragbi,
tinju, gusti, silat serta lumba kereta dan motor. Bagaimanapun terdapat kes
atlet yang tiba-tiba mengalami patah tulang atau stress fracture.
"Ini berlaku akibat latihan
yang berpanjangan menyebabkan tulang menjadi haus dan terdapat retak-retak
halus.
"Biasanya mereka akan
mengalami hanya sedikit kesakitan tetapi masih boleh berjalan dan bermain
seperti biasa," katanya.
Lama-kelamaan keretakan akan
melemahkan struktur tulang dan kecederaan yang sedikit saja boleh menyebabkan
tulang patah secara tiba-tiba. Jadi bagi mengelakkan kecederaan sukan, Dr.
Ezlan menyarankan mereka memanaskan badan dan membuat persediaan yang rapi
sebelum bersukan.
"Gunakan peralatan yang
sesuai mengikut saiz dan berpadanan dengan jenis sukan seperti topi keledar,
alat pelindung mata, alat pelindung mulut, alat pelindung untuk pergelangan
tangan, siku dan lutut semasa aktiviti sukan meluncur.
"Sentiasa mengikut peraturan
semasa bersukan, gunakan teknik yang betul yang telah diajar oleh jurulatih dan
amalkan semangat kesukanan dengan tidak berniat untuk mencederakan lawan,"
katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0708&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm#ixzz2oc6uvUPL
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment