HARIAN METRO: Mahu gusti lengan wanita

Monday, February 25, 2013

Share this history on :
 

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD DAN ANIZA ZAINUDIN

Kuala Lumpur: Kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka pagi dan petang semalam bagi menyaksikan pelbagai acara menarik yang disediakan menjelang Konsert Ekspresi Harian Metro, pada sebelah malamnya.
 
Konsert dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini antara lain sebagai membalas sokongan pembaca setia Harian Metro yang juga akhbar nombor satu negara serta meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Pengunjung, Viviana Hawa Masdar Hidayat, 24, berkata, sejak jam 9 pagi dia sudah menunggu bagi memberi sokongan kepada pelbagai acara yang disediakan.

“Saya pembaca setia Harian Metro sejak dulu lagi. Kini, selepas berwajah baru ia lebih padat dengan pelbagai isu selain cerita muka depan yang menarik.

“Bukan hanya menunggu konsert semata-mata, saya juga mahu memasuki pertandingan gusti lengan, malangnya ia hanya dibuka untuk lelaki saja,” katanya sambil tersenyum.

Menurutnya, dia meminati sukan lasak namun tiada rezeki untuknya bertanding.

“Biarpun gagal memasuki pertandingan itu, saya masih boleh menyertai pertandingan lain misalnya menggubah bunga.

“Saya harap tahun akan datang pihak Harian Metro akan mengadakan pertandingan gusti lengan untuk wanita juga,” katanya.

Bagi Aisarah Raihan Aminuddin, 13, pelawaan ibu bapanya untuk ke Konsert Ekspresi Harian Metro umpama orang mengantuk disorongkan bantal.

“Saya dan adik memang nak sangat datang kerana terdapat pelbagai program untuk kanak-kanak dianjurkan.

“Misalnya saya menyertai pertandingan mewarna dan melukis. Biarpun hanya mendapat hadiah sagu hati, saya tetap puas,” katanya yang datang dari Sungai Buloh.

Konsert ini turut menampilkan barisan penyanyi dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Antaranya, Ella, Ramli Sarip, Azlan &The Typewriter, Black, Najwa Latif, Alyah, Sleeq, Soo Wincci dan Zivilia Band.

Tidak ketinggalan persembahan daripada kumpulan indie seperti Beatburns, The Jesper, Orange in The Wood dan XPDC Junior, petang semalam.
Thank you for visited me, Have a question ? Contact on : pslns@yahoo.com.
Please leave your comment below. Thank you and hope you enjoyed...

0 comments: